Thursday, October 23, 2008

SISTEM IMUN - Perlindungan Terbaik Menentang Penyakit

ARTIKEL INI ADALAH PETIKAN DARIPADA BUKU PANDUAN C.A.P (PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG) YANG BERTAJUK SISTEM IMUN.

PENGENALAN

Tubuh manusia telah mengalami evolusi berjuta tahun. Kewujudan kita pada hari ini adalah hasil daripada kemampuan tubuh menangani berjuta mikrob: bakteria, virus dan kulat yang berkongsi hidup di dunia dengan kita.

Tubuh kita mampu bertahan daripada serangan mikrob yang berpotensi untuk menyebabkan penyakit kerana sistem imun kita dapat mengenal pastinya dan menghasilkan antibodi untuk menghapuskannya dari tubuh apabila ia melebihi paras seimbang.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari betapa berkuasanya mekanisme pertahanan dalaman kita dan keberkesanannya dalam menangani penceroboh yang boleh menjadikan kita jatuh sakit.

Malah, menurut penyelidikan perubatan terkini, satu-satunya protein yang diketahui mampu melindungi manusia daripada AIDS terdapat di dalam air liur kita.

BAKTERIA BERMANFAAT

Tubuh manusia terdiri daripada kira-kira 10 trilion sel, tetapi kita mempunyai 100 trilion bakteria yang hidup di luar dan di dalam tubuh kita.

Kebanyakan bakteria ini bermanfaat dan diperlukan. Kita mempunyai kira-kira 400 bakteria yang berbeza di dalam usus untuk membantu menghadam dan menyerap makanan serta melindungi usus daripada bakteria yang memudaratkan.

Bakteria yang bermanfaat terkandung dalam makanan yang kita makan, iaitu makanan yang ditanam di tanah yang subur dan tidak disembur dengan racun, tidak bersalut lilin dan tidak menjalani proses radiasi atau diproses.

Antibiotik yang kita ambil memusnahkan bakteria yang berguna dan membiarkan diri kita diserang oleh bakteria yang tidak mesra atau lebih buruk lagi, kita membantu menjadikan bakteria itu kebal.

BAGAIMANA SISTEM IMUN BERFUNGSI

Tubuh manusia mempunyai satu mekanisme menakjubkan yang dinamakan SISTEM IMUN untuk melindungi dan mempertahankan kita daripada berjuta bakteria, virus, mikro, toksin dan parasit yang cuba menyerang tubuh.

Sistem imun kita berfungsi sepanjang masa dalam cara yang sukar dan kompleks. Tugas sistem imun ialah melindungi anda daripada jangkitan virus, bakteria dan lain-lain dengan 3 cara utama:
  • Ia membentuk rintangan yang mencegah bakteria dan virus daripada memasuki tubuh.
  • Jika bakteria atau virus memasuki tubuh, sistem imun cuba mengesan dan menyingkirkannya sebelum ia boleh menyesuaikan diri dan membiak.
  • Jika virus atau bakteria membiak dan mula menimbulkan masalah, sistem imun akan menyingkirkannya.
Apabila virus atau bakteria memasuki tubuh dan membiak, ia menghasilkan kesan sampingan yang menjadikan anda sakit. Contohnya, bakteria Streptokokus menyebabkan radang tekak. Virus polio pula membebaskan toksin yang memusnahkan sel-sel saraf dan menyebabkan kelumpuhan. Berikut adalah beberapa contoh:
  • Apabila anda mendapat jangkitan kerongkong, nodus limfa di bawah rahang anda akan membengkak. Ini kerana pembuluh limfa mengalirkan jangkitan itu dengan membawanya ke kawasan yang paling hampir di mana tindakbalas imun boleh berlaku.
  • Apabila anda luka, pelbagai jenis bakteria dan virus akan memasuki tubuh melalui kulit yang luka. Tetapi kulit akan sembuh dengan sendirinya dan menutup kulit yang luka itu. Ini kerana sistem imun telah bertindak balas dan menghapuskan penceroboh. Kadangkala sistem imun gagal mengesan penceroboh asing dalam tubuh. Akibatnya, luka itu akan dijangkiti kuman lalu ia membengkak dan bernanah. Bengkak dan nanah adalah "kesan sampingan" daripada tugas yang dilakukan oleh sistem imun.
  • Keadaan bengkak yang merah dan gatal yang anda alami apabila digigit nyamuk menandakan sistem imun sedang bekerja.
  • Kita menyedut beribu-ribu kuman yang berterbangan di dalam udara setiap hari. Biasanya sistem imun mampu menangani dari melepasinya; sekiranya terlepas juga, sistem imun segera bertindak dan menghapuskannya. Itulah sebabnya kita sembuh daripada selsema atau flu tanpa perlu mengambil ubat. Kebanyakan orang memerlukan 7 hingga 10 hari untuk sembuh kerana itulah tempoh masa yang diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan sel T pembunuh khusus bagi melawan virus flu.
  • Apabila anda diserang demam, itu merupakan cara sistem imun menghapuskan serangan bakteria penyebab penyakit dari tubuh anda. Suhu yang lebih tinggi diperlukan untuk menghalang bakteria daripada sampai kepada zat besi yang diperlukan untuk membiak dan membahayakan kesihatan. Apabila pembiakan bakteria berkurangan, sel T pembunuh tubuh anda bertambah lebih cepat untuk memusnahkan bakteria itu. Bagi setiap darjah peningkatan suhu, sel darah putih bergerak 2 kali lebih cepat ke seluruh tubuh. Apabila anda mengambil ubat demam, anda sebenarnya melambatkan pengeluaran dan kelajuan sel T pembunuh, menyebabkan bakteria yang memudaratkan bertambah banyak dan menjadikan anda jatuh sakit.
KENAPA DOKTOR MERAHSIAKANNYA???

Jika punca segala penyakit bergantung kepada sistem imun, kenapa doktor tidak memberitahu kita mengenainya??? Sebaliknya doktor hanya memberikan ubat dan vitamin tiruan secara berlebihan.

Golongan perubatan kurang memandang berat terhadap pemakanan dan gaya hidup kerana mereka diajar tentang campur tangan dan ubat-ubatan. Kesedaran bahawa penyakit disebabkan oleh sistem imun yang lemah tidak mendapat tempat kerana keseluruhan industri perubatan mengandaikan bahawa ubat boleh menyembuhkan penyakit, dan terlalu banyak telah dilaburkan di dalam industri farmaseutikal untuk menyokong andaian yang salah ini.

Memandangkan industri perubatan mempunyai kepentingan yang besar dalam mempertahankan andaian yang salah ini, dan terlalu mementingkan usaha untuk mengembangkan terapi ubat yang menguntungkan, kebenaran tentang penyakit dan keimunan selalunya tidak dimaklumkan.


2 comments: